Pages - Menu

Thursday, September 3, 2009

HARGA MAKSIMUM 18 BARANG TERKAWAL


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menetapkan harga maksimum borong dan runcit bagi 18 jenis barang harga terkawal pada musim hari raya bermula 13 hingga 27 September ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, barang harga terkawal itu ditetapkan berbeza mengikut 138 kawasan seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Kementerian menetapkan harga barang terkawal ini kerana kita tidak mahu peniaga menaikkan harga sesuka hati," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau berkata, tiga jenis barang baru turut dijadikan barang kawalan pada musim perayaan kali ini iaitu ubi kentang import (Indonesia dan China), kacang tanah import dan bawang putih.

"Harga bawang putih dikawal kerana barangan tersebut telah meningkat harganya akibat harga import dari China yang tinggi pada masa ini memandangkan pengeluaran di sana berkurangan," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kebanyakan harga maksimum borong dan runcit yang ditetapkan kali ini adalah sama berbanding tahun lalu kecuali harga bagi ayam, kubis bulat import dan tomato.

"Harga ayam ini lebih rendah di 114 kawasan kerana trend harga ayam ketika ini adalah stabil dan bekalan dijamin mencukupi berdasarkan maklum balas daripada Jabatan Veterinar dan industri.

"Bagi kobis bulat import dan tomato juga ditetapkan lebih rendah masing-masing di 88 dan 100 kawasan disebabkan lambakan bekalan akibat peningkatan pengeluaran di ladang melebihi permintaan di pasaran," katanya.

Sementara itu, katanya, semua peniaga barang harga terkawal itu perlu memiliki lesen khas dan menggunakan plat tanda harga berwarna merah jambu serta wajib mempamerkan lesen mereka.

"Sebanyak 7,892 lesen telah dikeluarkan seluruh negara untuk musim perayaan Hari Raya Puasa tahun ini dan peniaga dinasihatkan mematuhi syarat-syarat lesen serta tidak menjual barang harga terkawal ini melebihi harga maksimum yang ditetapkan," katanya.

No comments:

Post a Comment