KUALA LUMPUR 14 Ogos - Pelakon dan pelawak terkenal tanah air, P. Paramasivam yang lebih dikenali sebagai Param, meninggal akibat serangan jantung hari ini.
Mendiang yang berusia 55 tahun meninggal sewaktu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari rumahnya di Taman Setia Gombak untuk menerima rawatan, awal pagi ini.
Beliau yang pernah membintangi beberapa buah drama televisyen dan filem sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, mengalami sakit jantung sejak 15 tahun lalu.
Menurut kakak sulungnya, P. Sara, dia dan adik-adiknya yang lain reda dengan pemergian mendiang meskipun terkejut menerima kematian adiknya itu.
Menceritakan saat-saat sebelum mendiang meninggal dunia, Sara berkata, kesihatan adiknya sejak beberapa hari lalu amat baik, cuma pagi ini dia mengadu sesak nafas.
"Melihat keadaannya yang semakin tenat, saya dan adik kembar mendiang, Parameshvari segera membawanya ke hospital. Bagaimanapun belum sempat tiba di hospital, adik saya sudah tidak bernafas lagi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman mereka hari ini.
Berita kematian mendiang itu mengejutkan peminat seni hiburan tanah air. Ia berlaku sehari selepas industri seni tempatan kehilangan penyanyi utama kumpulan nasyid Rabbani, Mohd. Asri Ibrahim yang meninggal dunia semalam, juga akibat serangan jantung.
Menurut Sara, mendiang pernah berpesan kepadanya supaya menjaga diri baik-baik sekiranya beliau sudah tiada di dunia nanti.
"Mendiang juga berpesan, jika beliau sudah tiada, tunjukkan pada wartawan yang hadir pada majlis penghormatan terakhir, albumnya semasa zaman dia bergelar pelakon dan pelawak suatu ketika dulu," katanya sebak.
Mayat mendiang yang merupakan anak bongsu daripada enam adik-beradik dan masih belum berkahwin, tiba di rumahnya dari HKL kira-kira pukul 1 petang ini.
Mendiang akan disemadikan di Krematorium Hindu Cheras, Ahad ini kerana menunggu tiga orang lagi kakaknya dari Paris dan London yang dijangka tiba selewat-lewatnya petang esok.
Mendiang mula mencipta nama bersama beberapa barisan pelakon tempatan antaranya, A. R Badul, Datuk Yahya Sulong, Allahyarham Yusni Jaafar dan Allahyarham R. Jaafar.
Kali terakhir mendiang muncul di layar perak ialah dalam filem Penyamun TarbusSi Luncai, Si Badul dan Anak Tunggal. sekitar tahun 1980-an. Filem-filem lain yang turut dibintangi mendiang ialah
Sementara itu seorang jiran mendiang, Affendi Jusuh, 36, berkata, mendiang dilihat masih dalam keadaan sihat semalam dan sempat bersiar-siar di taman bersama orang gajinya.
"Mendiang boleh dikatakan seorang yang sangat periang dan peramah.
"Sebaik sahaja mendapat tahu berita kematian mendiang pagi ini, saya amat sedih, bukan sahaja sebagai jiran, malah sebagai seorang peminatnya sejak dulu lagi," katanya.
salam sdr..
ReplyDeleteMa kasih kerana berkongsi info..
satu lagi kehilangan dalam dunia seni.