Pages - Menu

Thursday, June 11, 2009

Wajib Lulus BI - SPM


Cadangan Kerajaan untuk mewajibkan Lulus Bahasa Inggeris di peringkat SPM adalah merupakan sesuatu yang mengejutkan banyak pihak kerana belum pun selesai isu Pengajaran Pembelajaran Sains Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) reda dan menemui penghujungnya, KPM mula mencanangkan idea baru itu. Di peringkat bawahan, kita melihat cadangan ini ada baiknya,kerana ia mendukung visi dan misi kerajaan untuk melahirkan warga yang bukan sahaja ‘celik’ Bahasa Inggeris, tetapi juga berdaya saing di peringkat global. Wawasan 2020, yang semakin hampir untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara maju mengikut acuan sendiri dilihat tidak dapat dicapai dengan keadaan rakyat yang terang-terang ‘buta’ dalam bahasa komunikasi Dunia ini. Di samping sebagai bahasa komunikasi dan ilmu, bahasa Inggeris juga merupakan bahasa perdagangan dan ekonomi.Justeru itu kerajaan berpendirian untuk mengukuhkan ‘persediaan’ Negara dengan memperlengkapkan rakyat dengan kemahiran berbahasa Inggeris terutama generasi muda yang akan mewarisi kepimpinan Negara.
Namun apa yang membimbangkan ramai pihak terutama guru-guru dan Ibu bapa ialah persediaan KPM mewajibkan lulus BI diperingkat sekolah. Apa yang jelas, dalam dunia pendidikan kita, setiap kali bertukar ‘menteri’ pasti ada dasar baru yang mula diwar-warkan.Bayangkan belumpun reda isu PPSMI kini cadangan itu mengambil tempat.Kalau cadangan ini menjadi kenyataan, apakah ia akan menjadi satu lagi ‘gajah putih ‘ dalam KPM. Kita mesti mengambila kira dari semua sudut, termasuklah ‘kemahiran berbahasa Inggeris’ sedia ada di kalangan guru-guru yang mengajar BI.
Di kawasan Bandar, isu ini mungkin tidak menjadi masalah besar, tetapi di kawasan pedalaman, isu ini ternyata mengambil tempat.Ketiadaan guru-guru yang ‘pakar’ dalam BI merupakan sebab utama pencapaian rendah pelajar luar Bandar. Selain itu kemudahan asas seperti makmal bahasa dan bahan-bahan rujukan juga menjadi fakor terpenting yang seharusnya diambil kira oleh KPM. Kawasan pedalaman misalnya di Sabah dan Sarawak, bukan sahaja kekurangan guru BI tetapi juga mempunyai keperluan asas yang paling minimum. Bah kan masih ada sekolah yang menggunakan Penjana Kuasa sementera (Genertor) untuk mendapatkan bekalan elektrik. Dari satu segi, kita berpendirian, sudahkah KPM bersedia melaksanakan cadangan ini?..Bagaimanakah nasib pelajar-pelajar luar Bandar? Mampukah mereka bersaing dengan pelajar Bandar???Persoalan ini sentiasa bermain di benak guru-guru dan Ibu bapa yang berada di kawasan Luar Bandar.
Justeru itu, sebelum melaksanakan dasar ini, kita berharap supaya satu ahli Jawatankuasa yang melibatkan ahli-ahli akademik dan ‘ahli pendidikan ‘supaya ‘turun padang’ di kawasan pendalaman, merasai sendiri bagaimana suasana P&P yang berlaku, dengan harapan realiti pendidikan di kawasan Pedalaman ini dapat disuarakan di peringkat pusat dan situasi P&P di kawasan ini tidak lagi menjadi sekadar ‘ikut dasar’ tetapi lebih bersedia untuk menjalankan misi KPM.
Ketika saya berbual dengan seorang rakan sejawat dari Semenanjung, beliau menyatakan bahawa tahap pendidikan di Semenanjung ‘jauh’ kedepan kalau dibandingkan dengan iklim pendidikan di Sabah.Katanya lagi Sabah perlu bergerak 5-10 tahun ke depan baru menyamai situasi di Semenanjung. Saya terfikir jika benar apa yang beliau katakana, Sabah akan terus ketinggalan.Dan kita tidak hairan jika 10 tahun mendatang Sabah masih terbelakang dalam ‘piramid’ pendidikan di Malaysia. Bila saya mengutarakan tentang permasalahan kemudahan asas yang tidak mencukupi ekoran daripada bentuk muka bumi negeri Sabah yang sukar di hubungi dengan ketiadaan sistem Jalanraya yang menghubungkan Sekolah dengan PPD, beliau bersetuju dan melahirkan harapan agar kemudahan asas di sekolah-sekolah di Sabah dapat dipertingkatkan.
Warga pendidik di Sabah mengharapkan agar KPM mengambil kira permasalahan ini dan berharap cadangan untuk mewajibkan lulus BI di peringkat SPM akan dilaksanakan mengambilkira kesediaan sekolah di kawasan pedalaman terutama di Sarawak dan Sabah.

No comments:

Post a Comment