Saturday, September 5, 2009

KERAJAAN KAJI BONUS KAKITANGAN AWAM




NAJIB beramah mesra bersama penduduk sambil diperhatikan Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Mansor (tiga dari kiri) ketika mengadakan lawatan rasmi ke kuarters JKR, Cheras, semalam.




KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan sedang berbincang dengan Cuepacs mengenai tuntutan bayaran bonus untuk kakitangan awam pada tahun ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan sedang dalam perundingan mengenai perkara itu.

"Tunggulah...KSN tengah berbincang dengan Cuepacs," katanya pada sidang media selepas meninjau keadaan kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) di di Batu 2 1/2 Jalan Cheras kira-kira setengah jam, di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Cuepacs, Omar Osman percaya kerajaan akan memberi keputusan positif mengenai bonus atau wang sagu hati kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan awam untuk tahun ini.

Beliau berkata, Cuepacs berharap bonus kali ini dibayar sebelum Aidilfitri.

Katanya, pihaknya sudah menghantar surat mengenai tuntutan bonus itu baru-baru ini kepada Najib untuk mendapatkan pertimbangan sewajarnya.

"Kita belum mendapat reaksi balas mengenai perkara itu tetapi Cuepacs berharap kerajaan tidak mengecewakan harapan 1.2 juta kakitangan awam terutama bagi mereka yang berada dalam Kumpulan Sokongan Satu dan Dua yang amat mengharapkan sedikit sumbangan untuk persediaan menyambut Aidilfitri.

"Cuepacs tidak memaksa...terserah kepada kerajaan berapa jumlah sanggup dibayar (bonus atau sagu hari). Yang penting kita (kakitangan awam) dapat menikmatinya dan kalau dibayar sebelum raya lagi bagus," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tahun lalu, setiap kakitangan kerajaan menerima bonus sebulan gaji atau sekurang-kurangnya RM1,000.

Omar berkata, Majlis Tertinggi Cuepacs akan bermesyuarat Selasa ini bagi membincangkan lebih lanjut mengenai permintaan bonus atau sagu hati tahun ini.

Friday, September 4, 2009

PILIHANRAYA KECIL BAGAN PINANG, NEGERI SEMBILAN.


ADUN BN bagi Bagan Pinang, Negri Sembilan, Azman Mohd Noor meninggal dunia di Seremban hari ini. Beliau meninggal dunia kerana serangan sakit jantung pada jam 2.30 petang tadi di Pusat Pakar Seremban. Dalam pilihanraya umum lalu, Azman, 55, menang dengan mendapat 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail.

Dalam pilihanraya umum lalu, DUN Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi yang 66 peratus Melayu, Cina (10.5%), India (19.9%) dan lain-lain (3.5%).

Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan pilihanraya kecil dalam tempoh 60 hari ini. Ia merupakan pilihanraya kecil kesembilan selepas pilihanraya umum tahun lalu.

Bagan Pinang merupakan kawasan DUN dalam Parlimen Telok Kemang. Empat lagi DUN dalam parlimen tersebut ialah Chuah, Lukut, Linggi dan Port Dickson.

Dalam pilihanraya umum lalu, Parlimen Telok Kemang dimenangi oleh calon PKR, Datuk Kamarul Baharin Abbas. Manakala DUN Chuah pula dimenangi oleh PKR, Lukut (DAP), Linggi (BN) dan Port Dickson (PKR). (MALAYSIAKINI)

Thursday, September 3, 2009

LESEN ASTRO AKAN DIKAJI SEMULA


OSK Research berkata, pihaknya melihat sebarang langkah oleh kerajaan untuk menyemak semula lesen operasi Astro (All Asia Network Plc) sebagai negatif memandangkan aliran tunai kukuh yang dijana oleh operasi TV berbayar domestik itu.

"Kami mendapati sukar untuk memahami tujuan semakan semula bagi asas yang disebut dalam artikel itu memandangkan komitmen tinggi Astro dan tumpuan kepada kandungan tempatan," kata OSK dalam nota penyelidikan pelaburannya.

OSK mengulas mengenai laporan berita semalam bahawa kerajaan mungkin menyemak semula lesen operasi eksklusif 20 tahun Astro untuk memastikan syarikat itu memasukkan lebih banyak program yang mesra kerajaan dan menyokong konsep 1Malaysia.

Sumber kerajaan dipetik oleh akhbar dalam talian itu sebagai berkata, "terdapat perbincangan mengenai semakan semula tetapi Astro enggan menerima sebarang perubahan".

Perubahan itu akan melibatkan perubahan kontrak dan bayaran balik kerugian disebabkan hak eksklusif yang kini dinikmati Astro, kata sumber itu.

Bagaimanapun, OSK berkata, isu itu diperbesar-besarkan.

"Kami difahamkan daripada pihak pengurusan bahawa rundingan dengan kerajaan telah berlangsung sejak 12 bulan lepas bagi peralihan perjanjian pelesenan sebelum ini yang terkandung dalam Akta Telekomunikasi dan Penyiaran sebelum ini kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1999 yang mungkin melibatkan pemindaan kepada syarat-syarat tertentu," kata agensi itu.

Kelewatan itu disebabkan peralihan politik awal tahun ini dengan pelantikan menteri baharu bagi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

OSK berkata, pihaknya mengekalkan cadangan "beli" berdasarkan kepada harga sasaran RM3.92. - Bernama

LAGI ISU PKFZ


PKFZ adalah antara isu besar yang dihadapi negara berikutan pelbagai skandal mengenainya terbongkar melibatkan beberapa orang besar berpangkat menteri. Ia menjadi isu 'mainan' pembangkang ketika pilihanraya 12 yang lepas dan beberapa PRK yang menyusul selepas itu. Dengan gambaran bahawa kerajaan BN tidak telus dan berlakunya pecah amanah dan penyelewangan. Walau bagaimana pun Kerajaan telah bertindak berani menyiasat skandal PKFZ ini dan sekarang siasatan masih lagi dijalankan.


Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini menjalankan soal siasat terhadap bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (PKA), Datin Paduka O.C. Phang berhubung skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Hasil soal siasat yang berlangsung kira-kira lima jam di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1, Bangunan Parlimen di sini, mendapati projek PKFZ diurus dengan sangat lemah ketika kumpulan pengurusannya dipimpin oleh Phang.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid memberitahu, banyak amalan pengurusan projek besar yang sepatutnya ada dalam profesion pengurusan projek dilihat tiada dalam pengurusan projek PKFZ.

''Kami dapati teknik pengurusan projek PKFZ termasuk pengurusan kewangannya tidak baik dan sangat lemah meskipun projek itu dapat disiapkan dalam masa yang cepat iaitu daripada lapan tahun kepada dua tahun.

''Selain itu, wakil-wakil kerajaan yang terlibat dalam pengurusan projek PKFZ tidak mengambil berat tentang projek itu dan hanya bersikap lepas tangan sahaja,'' katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di sini hari ini.

Azmi berkata, antara amalan yang perlu diketahui oleh sesuatu pihak yang hendak menguruskan projek besar adalah unjuran pendapatan, perbelanjaan dan aliran tunai supaya projek berkenaan dapat dipantau.

''Sesuatu projek akan dibangunkan tanpa hala tuju jika tiadanya amalan-amalan tersebut. Unjuran pendapatan dan aliran tunai adalah sangat penting bagi memastikan pihak pengurusan projek dapat membayar balik pinjaman bank,'' jelasnya.

HARGA MAKSIMUM 18 BARANG TERKAWAL


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menetapkan harga maksimum borong dan runcit bagi 18 jenis barang harga terkawal pada musim hari raya bermula 13 hingga 27 September ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, barang harga terkawal itu ditetapkan berbeza mengikut 138 kawasan seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Kementerian menetapkan harga barang terkawal ini kerana kita tidak mahu peniaga menaikkan harga sesuka hati," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau berkata, tiga jenis barang baru turut dijadikan barang kawalan pada musim perayaan kali ini iaitu ubi kentang import (Indonesia dan China), kacang tanah import dan bawang putih.

"Harga bawang putih dikawal kerana barangan tersebut telah meningkat harganya akibat harga import dari China yang tinggi pada masa ini memandangkan pengeluaran di sana berkurangan," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kebanyakan harga maksimum borong dan runcit yang ditetapkan kali ini adalah sama berbanding tahun lalu kecuali harga bagi ayam, kubis bulat import dan tomato.

"Harga ayam ini lebih rendah di 114 kawasan kerana trend harga ayam ketika ini adalah stabil dan bekalan dijamin mencukupi berdasarkan maklum balas daripada Jabatan Veterinar dan industri.

"Bagi kobis bulat import dan tomato juga ditetapkan lebih rendah masing-masing di 88 dan 100 kawasan disebabkan lambakan bekalan akibat peningkatan pengeluaran di ladang melebihi permintaan di pasaran," katanya.

Sementara itu, katanya, semua peniaga barang harga terkawal itu perlu memiliki lesen khas dan menggunakan plat tanda harga berwarna merah jambu serta wajib mempamerkan lesen mereka.

"Sebanyak 7,892 lesen telah dikeluarkan seluruh negara untuk musim perayaan Hari Raya Puasa tahun ini dan peniaga dinasihatkan mematuhi syarat-syarat lesen serta tidak menjual barang harga terkawal ini melebihi harga maksimum yang ditetapkan," katanya.

Wednesday, September 2, 2009

KALAU BENAR ADA BONUS..


Mungkin kakitangan awam akan tersenyum lebar hari raya ini jika apa yang dikatakan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Tengku Adenan tengku Mansor menjadi kenyataan, iaitu rayuan kepada PM, Datuk seri Najib untuk memberikan bonus sebelum menjelangnya Hari Raya Aidilifitri 20hb.Sept ini. Menurut beliau lagi, walaupun keadaan ekonomi sekarang ini masih belum memuaskan ,namun permintaan itu bersandarkan kepada keperluan kakitangan yang berjawatan rendah untuk menikmati bonus di hari perayaan ini.Berikut adalah apa yang dilaporkan oleh utusan:

PUTRAJAYA 1 Sept. – Ura-ura kemungkinan kakitangan awam akan menikmati bonus sebelum Aidilfitri hangat diperkatakan walaupun Bajet 2010 dijadual dibentangkan pada Oktober ini.

Bayangan mengenai perkara itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Mohd. Hanadzlah baru-baru ini.

‘‘Ya, saya ada timbulkan pada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Kedua supaya jika dapat dipertimbangkan (pembayaran bonus) dan mereka senyum sahaja.

‘‘Saya yakin senyuman yang diberikan itu akan membawa kegembiraan kepada kakitangan kerajaan yang dijangka menyambut Hari Raya Puasa pada 20 September ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdapat 1.2 juta kakitangan kerajaan di seluruh negara dengan 75,000 orang pesara yang layak menerima bonus.

Tengku Adnan berkata, saban hari beliau mendengar rayuan daripada kakitangan kerajaan di Putrajaya terutama dari kumpulan sokongan yang berpendapatan kecil.

‘‘Sebenarnya di Putrajaya ramai kakitangan kerajaan yang berjawatan rendah merayu supaya saya bawakan kepada pengetahuan Perdana Menteri supaya dipertimbangkan bonus atau insentif untuk sambut raya.

‘‘Mereka sedar keadaan ekonomi tidak begitu baik tetapi mereka merayulah kalau boleh kerajaan faham mereka juga dalam keadaan yang tidak begitu stabil ekoran kenaikan harga barang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS), Omar Osman berkata, belum pernah berlaku dalam sejarah pembayaran bonus dibuat sebelum pembentangan bajet.

‘‘Bagaimanapun, CEUPACS amat berharap agar kerajaan akan bagi bonus kepada kakitangan awam supaya dapat menceria dan memeriahkan lagi sambutan hari raya kami,” katanya.

Tuesday, September 1, 2009

HARGA MINYAK DAN BEBANAN RAKYAT.


Sekali lagi rakyat menyaksikan kenaikan harga minyak melibatkan penggunaan minyak patrol RON95 yang dikatakan diperbaiki mutunya daripada asalnya RON92 yang dijual pada kadar RM 1.75 sebelumnya, kini harga minyak itu melonjak kepada RM 1.80 seliter menyaksikan kenaikan RM.05 sen. Manakala harga minyak patrol RON97 ialah RM 2.05 seliter. Kenaikan harga minyak di Negara ini telah banyak menimbulkan keresahan banyak pihak. Malahan sebelum ini pun ketika harga minyak dunia melambung tinggi kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah untuk meringankan beban rakyat. Selain dikatakan menampung jumlah subsidi yang berbilion ringgit, Kerajaan juga telah memperkenalkan “REBET TUNAI” kepada seluruh pengguna kenderaan di Negara ini. Walaubagaimanapun REBET berkenaan telahpun berakhir.



Apa yang jelasnya setiap kali berlaku kenaikan harga minyak, yang selalu menjadi sasarannya ialah “pengguna’ kerana tentunya harga barang keperluan akan terus menyaksikan kenaikan yang mendadak. Apakah rasionalnya kerajaan menaikkan harga minyak ini di saat rakyat Islam akan menyambut ketibaan Hari Raya dalam seminggu dua lagi..? Apakah jaminan bahawa harga barangan keperluan tidak akan dinaikkan oleh pemborong dan perincit di musim perayaan ini..? Apakah nasib masyarakat luar bandar dan pedalaman apabila harga barang keperluan akan naik ekoran kenaikan harga minyak ini ..? Adalah diharapkan agar kenaikan harga minyak , dipantau bersama kenaikkan harga barangan..Supaya rakyat tidak terus terbeban dengan kenaikan ini. Ketika mengulas isu berkenaan, Salahuddin Ayub yang juga Naib Presiden PAS menyatakan bahawa kenaikkan harga minyak ini akan membebankan rakyat seperti yang dilaporkan oleh harakah daily. Sama ada benar atau tidak ..kerajaan sepatutnya sudah bersedia untuk menjawabnya.

Saturday, August 29, 2009

KEMERDEKAAN YANG MERDEKA



Kemerdekaankah kalau pemimpin masih lagi bertelagah..?
kemerdekaankah kalau umat masih terpinga-pinga..?
kemerdekaankah kalau rakyat masih tidak terbela..?
kemerdekaankah kalau kita dimamah anai dusta..?


apakah ertinya merdeka bagi seorang hamba..?
bukankah bebas dari belenggu manusia raja.
apakah maknanya merdeka bagi seorang rakyat biasa..?
bukankah peritnya dirasa bersama.
apakah kaitannya merdeka kepada seorang ketua...?
bukankah jayanya mencabar kuasa.
apakah dekatnya merdeka pada seorang tua...?
barangkali bila anak-anaknya hidup berhemah.
lalu...


apa pula dengkinya merdeka kepada negara...?
bila petualang mencemar nusa..
kepada agama merdekanya bila...?
tentu seorang hamba bebas dari neraka..


Jika yang demikian...apa guna merdeka..?
kerana saban waktu dan masa..kita menonton dosa..
lihat mereka..mula berarak membawa sang kepala..
lihat mereka meruntun fatwa syurga neraka
lihat pengkhianat dikata fitnah..
lihat sebat jadi politik angkara..
lihat mereka mengendong kata bersarat dusta
lihat mereka enggan akur pada yang berkuasa
lihatlah..dan lihatlah untuk kesekiannya..



Kemerdekaankah itu ..kalau rakyat tunduk membisu..
Merdekakah lagi kalau pemimpin tunduk membatu
atau merdekakah kita kalau saban tahun melaungkan merdeka! merdeka!



PS: 9.Ramadan.11.15 pagi.