Pages - Menu
▼
Friday, March 20, 2015
ANWAR IBRAHIM DAN KEHAKIMAN DI MALAYSIA
Saya telah mengenali Anwar Ibrahim hampir empat puluh tahun, sejak beliau memimpin ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), gerakan belia terpenting di Asia Tenggara. Anwar yang saya kenal ketika itu adalah seorang anak muda yang cerdas, lulusan bidang sosiologi, datang dari keluarga Melayu berdarah India.
Beliau dan organisasi pimpinannya itu banyak mendirikan sekolah-sekolah rendah dan menengah. Memang beliau telah dibesarkan dan didewasakan dalam dunia pendidikan, dan seterusnya menyertai arus gerakan Islam di rantau Melayu. Kerana aktivismenya yang cukup menyerlah beliau menjadi tokoh harapan masa depan arus Islam di dalam dan luar Malaysia.
Reputasinya sebagai pemimpin muda meluas hingga ke luar daerah persekitarannya. Ketika itulah beliau ditangkap dan seterusnya disumbatkan ke khemah tahanan politik oleh pemerintah Malaysia. Setelah pembebasannya, Isma`il al-Faruqi rahimahu ‘Llah tampil memainkan peranannya sebagai orang tengah antara Anwar dan Mahathir Muhamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.
Al-Faruqiy menyarankan agar Mahathir memanfaatkan pemikiran dan aktivisme Anwar sebagai seorang yang memiliki segala potensi kepimpinan dan sebagai tokoh berkarisma terutama dalam kalangan anak-anak muda. Masa itu adalah era menyemaraknya fenomena keislaman yang disebut Islamic resurgence atau kebangkitan Islam.
Dengan kepekaan politiknya, Mahathir melihat bahawa membawa masuk tokoh muda seperti Anwar Ibrahim - simbol golongan Islamis di Dunia Melayu dan Asia Tenggara - mungkin akan dapat menyelamatkan Malaysia daripada konflik yang tajam di antara golongan nasionalis Melayu (yang berorientasi sekular) dengan golongan Islamis. Di Malaysia ketika itu telahpun wujud parti Islam yang memperjuangkan pelaksanaan syari`at dan menjadikan seluruh wilayah Malaysia sebagai wilayah Islam, di samping telah juga wujud simbol-simbol Islam dalam negara yang memungkinkan Malaysia terdedah kepada konflik seperti yang berlaku di dunia Arab, iaitu konflik di antara golongan Islamis dengan golongan nasionalis.
Di Malaysia pada asasnya tidak wujud perpecahan dalam kalangan kaum bumiputera yang rata-rata adalah Muslim-Sunni yang menganut mazhab Syafi`i. Itulah yang menjadi asas perpaduan mereka selain asas kesatuan kebangsaan. Mahathir telah membuat keputusan untuk meyakinkan Anwar agar menyertai parti pemerintah (UMNO) dan seterusnya berkhidmat dalam kerajaan dengan jaminan bahawa ruang yang seluas-luasnya akan sentiasa terbuka untuk beliau memanfaatkan kemampuan politiknya semaksimanya. Sementara itu pihak parti Islam (parti yang didominasi para ulama) pula menawarkan agar Anwar memimpin parti tersebut.
Bagaimanapun al-Faruqiy (yarhamuhu ‘Llah) berpandangan lebih baik Anwar memainkan peranan kepimpinan dalam parti pemerintah daripada menjadi pemimpin parti pembangkang Islami. Kedua-dua tokoh tersebut akhirnya telah mencapai kesepakatan. Berikutan dengan keputusan tersebut ramai para ulama (Islamis) yang mengecam tokoh muda Islam tersebut yang lebih mengutamakan kerjasama dengan golongan sekularis dan menyertai parti mereka daripada menjadi pemimpin parti Islam.
Tentu sahaja Anwar perlu mempertahankan dirinya. Ketika itulah Dr. Al-Faruqi dan teman-teman dari Himpunan Belia Islam Sedunia (WAMY) di Riyadh meminta saya pergi ke Malaysia untuk mencari semacam penyelesaian di antara Anwar dan rakan-rakannya dengan para penentangnya dari kalangan Islamis, yang sebahagiannya telah bertindak terlalu jauh dan melampau dengan menuduhnya cenderung dan memihak kepada orang-orang zalim, seterusnya mengubah kesetiaannya kepada mereka serta pelbagai tuduhan lainnya lagi.
Saya telah pergi ke Malaysia menemui semua pihak: pimpinan ulama dan parti Islam mereka, juga belia Islam Malaysia dan pimpinannya. Selama kira-kira dua minggu saya berada di sana untuk menenangkan keadaan, cuba memelihara perpaduan kaum Muslimin Malaysia dan berusaha mencegah konflik dalam kalangan mereka.
Sementara itu Anwar segera memulakan gerakan politiknya dalam kerangka parti pemerintah UMNO dan dalam konteks peranannya sebagai Timbalan Menteri (di Jabatan Perdana Menteri). Dengan demikian daerah ini telah melintasi era kebangkitan Islam tanpa terjerumus ke dalam konflik antara pendukung kebangkitan dan arus yang bersamanya dengan arus nasionalis-sekularis.
Anwar tampaknya sangat menghargai usaha yang telah saya lakukan ketika itu, beliau menyambut kunjungan saya di rumahnya dan di pejabatnya beberapa kali. Selain itu saya juga telah menyampaikan siri ceramah di pelbagai tempat hingga keadaan kembali tenang dan setelah itu saya pun kembali ke Riyadh meneruskan tugas-tugas saya sebagai profesor di Universiti al-Imam. Hubungan akrab saya dengan Anwar berterusan hingga sekarang. Beliau menghubungi saya setiap kali menghadapi persoalan besar atau ketika menghadapi sebarang pertembungan. Dari masa ke masa Anwar terus mara dan jaya dalam kerjaya politiknya.
Tidak lama kemudian beliau menjadi menteri penuh (Menteri Pertanian), setelah itu menjadi Menteri Pendidikan dan seterusnya menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri. Sejak itu semua orang tahu beliaulah (Anwar Ibrahim) yang akan menggantikan Mahathir nanti. Anwar telah meraih pelbagai penghargaan dan pengiktirafan, termasuk gelar kebesaran “Dato’ Seri” dari beberapa orang Sultan yang merupakan gelar tertinggi bagi mereka yang di luar keluarga diraja.
Bintangnya terus menyinar dan tampak di mata umum bahawa beliau adalah tokoh di belakang pelbagai kejayaan kerajaan UMNO waktu itu. Tetapi rupa-rupanya prestasi cemerlang Anwar itulah pula yang mendorong orang-orang di keliling Mahathir berusaha mempengaruhinya dan menimbulkan rasa tidak senang di hatinya terhadap orang yang selama ini dianggap anak didiknya.
Mereka berjaya meyakinkan Mahathir bahawa kononnya Anwar tidak lagi menganggapnya sebagai bapak yang berjasa memberikannya segala kesempatan mendapatkan kekuasaan. Usaha-usaha jahat itu pun mula membuahkan hasilnya. Dalam konteks sedemikian itulah terbitnya buku “Lima Puluh Dalil” mengapa Anwar tidak wajar dan tidak layak menggantikan Mahathir.
Mereka memberitahu Anwar bahawa buku tersebut tidak mungkin terbit tanpa dukungan Mahathir sendiri. Akibatnya hubungan antara kedua tokoh tersebut menjadi tegang dan dari hari ke hari semakin memburuk dan terbuka hingga diketahui umum, pemimpin dan anggota parti. Anwar sendiri tidak menduga bahawa krisis tersebut akan sampai ke tahap penyingkirannya dari jawatannya. Maksudnya, beliau tidak menyangka bahawa Mahathir akan bertindak sejauh itu.
Tetapi suasana politik dunia ketika itu telah berubah. Tahun-tahun 90’an adalah era timbulnya keinginan untuk menekan para Islamis dan menghadang kebangkitan Islam. Demikianlah, tiba-tiba kita dikejutkan dengan peristiwa September 1998 apabila Mahathir membuat keputusan bagaikan kudeta ketenteraan, iaitu dengan memecat Anwar dari semua jawatannya dalam parti dan kerajaan.
Ketika itulah juga polis masuk ke rumah yang didiami Anwar, iaitu rumah rasmi kerajaan untuk kediaman Timbalan Perdana Menteri. Mereka memintanya dan keluarganya meninggalkan rumah tersebut serta-merta kerana beliau tidak lagi menyandang sebarang jawaran rasmi. Ia adalah kejadian yang mendadak dan keterlaluan. Anwar terpaksa membawa keluarganya keluar dari rumah tersebut dan berpindah ke rumah miliknya sendiri.
Setelah itu kerajaan melakukan pelbagai tindakan provokatif dan kejam secara bertubi-tubi sehingga membangkitkan protes massa rakyat Malaysia, termasuk ramai dari kalangan ahli-ahli parti pemerintah sendiri. Mereka keluar berdemonstrasi di jalan-jalan raya dan seringkali berakhir di rumah kediaman Anwar. Di sanalah Anwar, isterinya dan penyokong-penyokongnya menyambut para demonstran dan berpidato kepada mereka. Untuk menghadapi protes rakyat tersebut, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah dan tindakan.
Yang paling menyedihkan adalah tindakan mahkamah yang tanpa henti berusaha mengkriminalisasikan Anwar dengan bukti-bukti rekaan. Dari masa ke masa ada sahaja kes mahkamah yang bermotif politik untuk menjerat Anwar yang semuanya direkayasa dengan satu tujuan, iatu mensabitkan bahawa Anwar adalah seorang pelaku seks luar tabii, dan kerananya tidak layak menggantikan Mahathir dan tidak layak memimpin sebarang parti parti politik. Itulah yang terjadi sejak 1998.
Sekarang kita sudah berada pada tahun 2015, namun kita masih lagi tak habis-habis dengan proses mahkamah yang ada ketikanya menghukum dan pada ketika yang lain menyokong. Sayang sekali, tahun-tahun yang memberikan kesempatan kepada rakyat Malaysia memanfaatkan kebolehan dan pengalaman Anwar, khususnya untuk menangani pelbagai masalah di rantau Asia Tenggara, telah disia-siakan dengan menyebokkan Anwar dan menyebokkan diri mereka sendiri dengan kes-kes dan dakwaan-dakwaan karut dengan segala pembuktian dan kesaksian yang aneh, lucu dan berubah-ubah.
Yang harus membayar harga segala karut-marut itu adalah Anwar dan rakyat Malaysia serta pemimpin-pemimpin politik dari pelbagai parti. Sesungguhnya saya - sebagai seorang yang sangat mencintai Malaysia dan rakyat Malaysia - terpegun dengan isu ini, lalu saya bertanya kepada beberapa orang Malaysia, “Tidakkah anda malu dengan tindakan dan perilaku buruk yang telah dilakukan ke atas seorang tokoh yang seharusnya ketika ini sudah menjadi pemimpin paling berjaya di Asia Tenggara dan pemimpin Melayu paling cemerlang?”.
Ada seseorang yang menjawab, “Semua pemimpin-pemimpin kami pernah masuk penjara. Anwar juga tidak terkecuali. Beliau harus melalui masa-masa di penjara.”. Anwar telahpun dipenjara selama enam tahun atas tuduhan dan tohmah yang serba karut. Kita menyangka segalanya telah berakhir dengan pembebasannya.
Tetapi rupa-rupanya para penguasa hari ini telah membuka kembali isu lapuk tersebut dan menyebarkan semula fitnah kotor dan jahat itu kerana sebab-sebab yang Allah sahaja yang tahu. Sesungguhnya Malaysia pernah dianggap sebagai negara contoh dan model kejayaan, iaitu ketika negara ini di bawah kepimpinan Mahathir-Anwar. Kedua-duanya memiliki kekuatan dan keistimewaan sendiri-sendiri, yang seorang dengan pengalamannya, sementara yang seorang lagi dengan dinamika kemudaannya.
Tetapi kini, gandingan itu telah dipecahkan oleh syaitan-syaitan manusia dan jin. Orang-orang Malaysia yang banyak berbicara tentang sihir, ramai yang apabila berbicara tentang konflik Mahathir-Anwar mengatakan bahawa mereka berdua terkena sihir hitam sehingga mereka saling membenci. Sebenarnya mereka (rakyat Malaysia) tidak mempunyai jawapan atau tafsiran yang meyakinkan tentang apa yang telah terjadi, selain kekarutan khurafat tersebut.
Tidak malukah Malaysia dengan keadaan terus-menerus dalam dongeng sihir hitam dan putih, dengan cerita tududan palsu dan bukti rekaan, dan segala kekarutan lainnya itu? Andainya saya seorang hakim di Malaysia, pasti saya sudah berhenti dari perkhidmatan kehakiman, dan pasti saya merasa terhina dan malu besar apabila disebut bahawa saya seorang hakim atau pernah menjadi hakim.
Memang demikianlah, kerana saya menyaksikan keadaan aib dan memalukan itu berlanjutan selama tujuh belas tahun, orang-orang politik dan hakim-hakim mahkamah sewenang-wenang memperlakukan isu ini sedemikian rupa. Saya ingin berpesan kepada Anwar, mohonlah pertolongan Tuhan dengan memperbanyakkan sabar dan sembahyang, sesungguhnya Allah bersama mereka yang sabar. Dan saya ingin berkata kepada Mahathir, takutlah kepada Allah, sesungguhnya jarak antara kamu dengan liang kubur sudah tidak jauh. Umur kamu sudah melewati lapan puluhan.
Ketahuilah bahawa perbuatan mencemarkan maruah dan tuduhan-tuduhan yang berkaitan dengannya, atas alasan apa pun, tidak akan dibiarkan oleh Allah menyentuh orang yang bersih. Bahkan akibat dan balasannya adalah sengsara kehinaan di dunia dan derita penyiksaan di akhirat. Marilah kita bertaqwa kepada Allah, dan sama-sama mengangkat perjuangan kita ke aras yang lebih tinggi dan lebih mulia daripada tahap sekarang yang serba cemar, rendah dan murah.
Prof. Dr. Taha Jabir al-`Elwaniy [Nota: Teks terjemahan ini di urus selaras oleh ABIM]
Sunday, March 8, 2015
USTAZ ASRI DAN USTAZ KAZIM BERBAIK SEMULA
Salam bersambut, begitulah dengan ketegangan antara Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias yang reda apabila kedua-dua berbaik semula.
Isu yang berbangkit antara keduanya dianggap selesai apabila Kazim menerima undangan Mufti Perlis bertandang ke Kangar, malam tadi.
Pada pertemuan yang disifatkan MAZA sebagai minum sambil tersenyum itu membuka jalan penyelesaian terbaik berbanding terus ‘berbalah’ dialam maya sehingga mencetuskan suasana tidak baik dalam gerakan dakwah negara.
Kedua-dua bertemu di Kafe Blackwood, diiringi Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki.
Malah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail turut mencemar duli meraikan Kazim dan pertemuan itu.
Dalam laman Facebooknya, Dr Asri menyatakan, ‘Minum dan tersenyum’. Saya alhamdulillah menerima tetamu istimewa malam ini Datuk Kazim Elias di Kangar, Perlis. Turut sama Dato Dr Asyraf Wajdi yang diPertua YADIM. Kami minum dan makan dengan mesra sebagai saudara muslim di cafe yang sedap menunya, Cafe Blackwood, Kangar.”
Isu tercetus apabila Mufti Perlis dalam satu surat tidak bersetuju dengan Kazim sebagai ahli panel perdana ehwal Islam sempena Hari Keputeraan Raja Perlis.
Antara alasan yang diberikan oleh Dr Asri ialah Kazim didakwa mencetuskan kekeliruan berhubung tafsiran riwayat hadis dan dakwaan mengatakan Rasulullah suka makan roti jala cicah kari sehingga menjadi viral di dunia siber.
Kazim kemudiannya mengeluarkan kenyataan balas bagi menjawab tuduhan ke atas dirinya dan pihak berkenaan seharusnya menghubungi beliau sendiri mendapatkan penjelasan berhubung riwayat yang dianggap palsu.
Mufti Perlis menjelaskan dokumen itu merupakan satu rahsia yang tidak sepatutnya diviralkan dan tidak mahu mengulas mengenainya memandangkan ia melibatkan keputusan kerajaan negeri tetapi mempelawa Kazim bertemu dan menyelesaikan perkara itu secara musyawarah atau bertentang mata dan akhirnya menjadi realiti malam tadi.
Sikap jiwa besar Kazim sanggup mengetepikan segalanya dan mengadakan pertemuan dengan Dr Asri diharap dapat menyatukan kelompok-kelompok dalam agama Islam seterusnya mencari jalan penyelesaian berbanding menyebabkan kerosakan kepada umat Islam.
Tuesday, March 3, 2015
SEPARA OUTONOMI KATA DATUK SALLEH TUN SAID
Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Salleh Tun Said yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud, merangkap Timbalan Ketua Perhubungan negeri dan ADUN USUKAN, menyuarakan kebimbangan mengenai persepsi rakyat Sabah terhadap Kerajaan Pusat dalam soal layanan dan tuntutan rakyat Sabah mengenai beberapa perkara berkaitan isu autonomi. Datuk Salleh dalam blognya menyuarakan betapa kepentingan Sabah Sarawak dalam politik negara, terutama PRU13 lepas yang memungkinkan Parlimen tergantung di Semenajung jika Tanpa penglibatan dan peranan Sabah Sarawak. Datuk Salleh memulakan penulisan beliau dengan ayat :
No one would deny the fact that Sabah and Sarawak are Barisan Nasional’s ‘fixed deposits’. Politicians from both sides of the political divide have openly admitted this, even the Prime Minister himself. Sabah and Sarawak are the Kingmakers and without these two states we would see a hung parliament in Peninsula Malaysia and neither Barisan Nasional nor Pakatan Rakyat would be able to form the federal government.
Nevertheless, what is of concern to Sabah and Sarawak is the federalisation of the state government and the loss of its autonomy in deciding some matters. We are not talking about independence as a nation-state. That is not even a subject that requires discussion. We are talking about independence in decision-making, or at least in some of the decision-making.
Sabahans and Sarawakians must be made to feel they are partners in Malaysia and not servants of West Malaysian colonialists. Whether this is the correct perception or not is another matter but we must not deny that this is how many Sabahans and Sarawakians feel. The bone of contention here is the manner in how these funds are managed and how much say the states have in how these funds are utilised. Hence this is a fair request from Sabah and Sarawak and can only strengthen Barisan Nasional in Sabah and Sarawak when Sabahans and Sarawakians are made to feel that they do have some say in their own destiny.
No one would deny the fact that Sabah and Sarawak are Barisan Nasional’s ‘fixed deposits’. Politicians from both sides of the political divide have openly admitted this, even the Prime Minister himself. Sabah and Sarawak are the Kingmakers and without these two states we would see a hung parliament in Peninsula Malaysia and neither Barisan Nasional nor Pakatan Rakyat would be able to form the federal government.
Kebimbangan Rakyat Sabah disuarakan Datuk salleh sebagai berikut:
Dan akhirnya beliau berpandangan rakyat Sabah sarawak pada asasnya perlu merasakan bahawa kehadiran mereka sebagai rakan kongsi dalam MALAYSIA: