Pages - Menu

Tuesday, October 29, 2013

INTIPATI BAJET 2014


1. Subsidi gula 34 SEN dimansuhkan.

2. Barangan dan servis GST seperti 160 buah negara lain di dunia bermula April 2015 (nilai 6% dan pengecualian untuk 40 barangan asas penguna seperti makanan dan minuman, jual beli dan sewaan rumah serta perkhidmatan kewangan terpilih, perkhidmatan kerajaan dan pengankutan awam) diperkenalkan MENGGANTIKAN Sales and Service Tax (SST).

LAIN-LAIN

1. Cukai peribadi turun 1%-3%

2. Tiada cukai utk mereka berpendapatan rm4k ke bawah

3. Perlepasan cukai sebanyak rm 2k utk berpendapatan sehingga rm 8k

4. Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan akan susut seterusnya daripada 4 peratus KDNK pada 2013 kepada 3.5 peratus pada 2014

5. Inflasi negara rendah 2%-3%

6. 50 klinik dan 60 kedai 1malaysia akan dibina

7.Kerajaan akan menyediakan 50 buah Klinik
1Malaysia tahun depan dan sehingga kini, 234 Klinik 1Malaysia telah disediakan.

8. Pengangguran rendah 3%

9. Subsidi utk pengguna keretapi pantai timur

10. Cukai utk industri kecil dan sederhana turun 1% begitu juga cukai korporat

11. Spekulasi rumah dihalang, jual sebelum 3 tahun kena cukai 30% (RPGT).

12. Rakyat asing cuma boleh beli hartanah RM1 juta keatas (dulu rm500 k shj)

13. RM1.9 bilion untuk 123,000 ribu rumah mampu milik akan dibina. harga siling rumah sederhana rm170k dan rumah murah 40-60k dgn subsidi 20k.

14. Penerima BR1M dinaikkan kepada berpendapatan RM4,000, menerima sebanyak RM450.

15.Pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah ditingkatkan daripada RM500 kepada RM650

16.Nilai BR1M bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan dinaikkan kepada RM300

17. Pendapatan negara lebih tinggi dari jangkaan tahun lepas. Pada tahun 2014, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan berjumlah RM224.1 bilion, meningkat sebanyak RM4 bilion dari 2013.

18. pendidikan sentiasa menjadi sektor terbesar, peruntukan tak pernah turun dari 20% belanjawan

19. RM2.4 bilion untuk subsidi pertanian dan insentif bagi padi dan penternakan ikan.

20. Kerajaan akan menyediakan kit rawatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) secara percuma kepada pesakit kegagalan buah pinggang tahap akhir untuk membuat rawatan sendiri di rumah. Bagi membantu memudahkan pesakit menjalani rawatan, kerajaan akan membekalkan secara percuma, kit rawatan CAPD yang bernilai RM19,000 seunit.

21.1.4 juta penjawat awam akan menerima bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500. Bayaran bantuan khas kepada penjawat awam itu adalah untuk Gred 1 hingga Gred 54.

22.Kerajaan akan melantik lebih ramai jururawat 6800 dengan peruntukan sebanyak RM150 juta.

23.Kerajaan belanja RM2.2 bilion bantu kos pembelajaran pelajar.

24.Kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia sebanyak RM250 kepada setiap pelajar prauniversiti dan Instituisi Pengajian Tinggi (IPT) untuk mengurangkan kos pembelian buku dan bahan pengajian. Langkah ini dijangka dapat memanfaat seramai 1.3 juta pelajar dengan peruntukan sebanyak RM325 juta.

25.Bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah, dan program Baucar Buku 1Malaysia RM250 kepada pelajar IPT diteruskan

26.RM110 juta diperuntukkan untuk meneruskan program MyBrain15 untuk perlanjutan pengajian pasca siswazah (Masters dan PhD).

YANG TIDAK DIPERBINCANGKAN

Perincian belanjawan utk operasi dan pembangunan, infrastuktur

BEBANAN TUGAS GURU PUNCA TEKANAN?



BEBANAN kerja sebagai guru semakin kompleks kerana selain mengajar, mereka juga terpaksa menyediakan soalan-soalan peperiksaan dari semasa ke semasa, mengisi buku kedatangan, buku disiplin dan ringkasan mengajar, borang kesihatan dan rekod kemajuan murid, kelab dan persatuan, serta mengendalikan persiapan hari sukan.

Justeru, guru-guru dikatakan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan sehingga boleh membawa kepada penyakit mental yang serius seperti bipolar, kebimbangan melampau dan kemurungan.

Kajian oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendapati 70 peratus daripada 9,000 guru di seluruh negara tertekan bukan sahaja kerana beban tugas tetapi juga terpaksa berdepan dengan kerenah pengetua, kerani, ibu bapa dan juga pelajar.

Bagi Noreha (bukan nama sebenar), selain terpaksa berdepan dengan masalah rumah tangga, dia turut tertekan dengan kerenah pengetua sekolah tempatnya bertugas.

Guru berusia 46 tahun itu yang ditemui di Wad Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata, dek kerana tekanan, dia sering diketepikan dalam pelbagai aktiviti sekolah.

"Sebelum ini saya memang sudah mengalami tekanan. Pengetua pula selalu mempertikaikan cuti yang saya pohon sedangkan surat daripada doktor disertakan.

"Bila kerja semakin bertambah, dicampur pula dengan tekanan daripada orang atas dan kerenah anak-anak, saya semakin runsing," katanya.

Noreha yang merupakan penanda kertas peperiksaan Matematik untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) memberitahu, dia sebenarnya seronok menjadi guru.

"Saya memang suka mengajar, lebih-lebih lagi apabila murid banyak bertanya dan cemerlang dalam peperiksaan. Tetapi keadaan sekeliling seperti pengurusan sekolah dan rakan sejawatan banyak memberi tekanan.

"Ada juga yang faham keadaan saya, tetapi lebih ramai yang mengatakan saya gila. Mereka tidak faham mengapa saya perlu cuti untuk pergi berjumpa pakar psikiatri. Mereka juga anggap saya terlalu ikutkan perasaan," jelasnya.



HARAPAN yang tinggi terhadap keputusan peperiksaan pelajar turut memberi tekanan kepada golongan guru.

Noreha yang berasal dari Pulau Pinang tidak menafikan pihak sekolah ada memberi pelepasan kepadanya tetapi apa yang menyesakkan fikirannya ialah cutinya sering menjadi buah mulut orang.

Ada yang mendakwa Noreha sengaja menjadikan tekanan yang dialaminya sebagai alasan untuk bercuti.

"Secara fizikalnya saya memang sihat, tetapi dalaman saya berkecamuk. Saya bukan buat-buat sakit. Ikutkan hati, saya tak mahu masuk hospital dan tinggalkan keluarga dan kerjaya saya," katanya.

Ibu kepada dua orang anak ini juga memberitahu, dia cuba untuk mengawal perasaannya daripada terus tertekan, tetapi adakalanya semakin dia cuba untuk tenang, semakin agresif pula jadinya.

"Kadang-kadang saya tak rasa tertekan. Saya rasa sihat, tetapi orang sekeliling tak anggap begitu, mereka mula sorokkan pisau. Kebelakangan ini saya kerap dimasukkan ke wad berbanding dulu," katanya.

Kerja tujuh hari seminggu

Berbeza dengan Norehan, akibat terbeban dengan kerja sebagai guru JQAF, Zaimah Mishan, 42, pernah mengalami sakit jiwa.

Dia yang mengajar sekolah aliran agama tidak mampu untuk menanggung beban tersebut lebih-lebih lagi banyak masa dihabiskan di sekolah berbanding bersama keluarga.

"Saya pernah mengalami masalah jiwa iaitu kecelaruan bipolar sehingga saya tidak mampu mengajar. Enam bulan saya dirawat dan direhatkan.

"Ramai melihat guru JQAF tidak banyak kerja memandangkan mereka hanya mengajar agama tidak seperti sekolah aliran kebangsaan. Namun, mereka juga dibebani dengan komitmen luar," katanya.





Zaimah yang pernah mengajar di beberapa buah sekolah berkata, ada pengurusan sekolah yang memahami tanggungjawab guru JQAF namun ada juga sekolah yang menyamakan guru JQAF seperti guru-guru lain.

"Semasa saya mengajar di sekolah A, saya pernah bekerja tujuh hari seminggu, dari pagi hinggalah petang sampaikan tiada masa untuk suami dan anak-anak.

"Hari Isnin hingga Jumaat, saya mengajar seperti biasa. Kadang-kadang saya diminta menggantikan guru lain mengajar subjek bukan aliran JQAF.

"Hari Sabtu pula, ada kegiatan kokurikulum yang mana semua guru terlibat dan hari Ahad pula saya selaku guru JQAF diwajibkan terlibat dalam Kem Bestari Solat," katanya.

Menurut Zaimah, beban terlalu berat yang tidak dipantau oleh pegawai yang sepatutnya itu ternyata memberi kesan kepada guru-guru JQAF.

"Kami terbeban, tersepit, letih, dan hampir kena mental block. Masa yang ada untuk berehat ialah waktu malam, itu pun kami terpaksa bawa pulang buku latihan murid-murid untuk ditanda.

"Itu tidak termasuk kursus atau kertas kerja yang perlu dibereskan untuk aktiviti gerak kerja," katanya.

Zaimah yang baru lima bulan mengajar semula selepas bercuti panjang menjelaskan, keadaan dirinya ketika 'sakit' dahulu bertambah teruk lebih-lebih lagi apabila suaminya berkahwin lain dan anak-anak enggan berjumpa dengannya.

"Bila saya tertekan dengan kerja, suami kata dia nak kahwin lain dengan alasan saya terlalu sibuk dengan kerja. Keadaan saya bertambah teruk waktu itu.

"Bila sakit saya datang, anak-anak tidak mahu dekat dengan saya. Hanya keluarga saya yang datang memberi sokongan untuk saya jalani terapi dan rawatan di hospital.

"Selepas bercuti lama, saya mengajar di sekolah lain. Alhamdulillah, selepas menjalani rawatan dan sesi kaunseling, saya sudah boleh mengawal tekanan di tempat kerja. Suami dan anak-anak pula sudah kembali pada saya," katanya.

Berisiko mendapat penyakit kritikal

MENURUT Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Nor Zuraida Zainal, setiap tahun dianggarkan 22,000 pesakit mendapatkan rawatan di klinik dan wad psikiatri hospital berkenaan. Kira-kira 10 peratus daripada mereka terdiri daripada golongan guru.

“Guru sekarang tidak seperti guru zaman dahulu. Guru sekarang terbeban kerana banyak tugasan baru yang perlu dilaksanakan selain mengajar.

“Di samping sibuk dengan aktiviti persatuan, panitia, kelab, rumah sukan, kursus dan gerak kerja luar sekolah, guru-guru juga perlu berdepan dengan tekanan lain.

“Mereka turut berhadapan dengan perangai pelajar dan kerenah ibu bapa serta pengetua yang sentiasa menaruh harapan tinggi untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.

Ramai ibu bapa, tidak kira di bandar atau di luar bandar, masih menganggap bahawa sekolah dan pusat tuisyen ialah tempat untuk mendidik anak mereka dan menyerahkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada guru.

Apabila ada anak yang gagal, sesetengah ibu bapa terus menuding jari kepada guru sedangkan kejayaan para pelajar tidak hanya bergantung kepada pengajaran di sekolah.



Bercakap mengenai gejala tekanan yang sering dialami oleh pesakit-pesakitnya yang juga guru, Nor Zuraida memberitahu, kebanyakan mereka menghidap kecelaruan bipolar iaitu kewujudan pelbagai karakter yang berlawanan dengan keadaan guru terbabit sebelumnya. Ini diikuti kebimbangan melampau dan kemurungan.

“Mereka yang mengalami kecelaruan bipolar nampak sihat seperti biasa, malah pada tahap hipoaktif, mereka menjadi rajin dan produktif dalam melakukan sebarang kerja walaupun tidak mempunyai waktu rehat yang cukup.

“Tetapi kerja yang dilakukan tidak pernah habis dan ini yang mendatangkan sangsi kepada orang di sekeliling mereka,” katanya.

Tiga faktor utama yang menyebabkan tekanan ialah keturunan, faktor sekeliling seperti kerja dan jaringan sosial seperti keluarga, rakan-rakan dan masyarakat.

Sekiranya terdapat keturunan yang mempunyai masalah jiwa, risiko untuk guru mendapat tekanan menjadi lebih tinggi.

Malah, jelas Nor Zuraida, guru yang tertekan berisiko empat kali ganda lebih tinggi untuk mendapat penyakit kritikal seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

“Tanda-tanda awal penyakit ini bermula dengan kemurungan. Guru akan mula hilang tumpuan mengajar, bosan, pendiam dan jika berlarutan mereka tidak mampu lagi untuk mengajar dan melakukan aktiviti harian.

“Sekiranya wujud keadaan-keadaan seperti ini, pihak pengurusan sekolah perlu memahami dan membantu guru berkenaan dengan mengurangkan waktu dan kelas mengajar serta memberi kelonggaran untuk menjalani terapi dan kaunseling,” jelas Nor Zuraida.


Tuesday, October 22, 2013

GAMBAR GURU BERASMARA TERSEBAR



Gambar-gambar 2 guru berasmara sebelum nikah tersebar..


Sekumpulan pelajar yang sedang mencari fail di dalam sebuah komputer server milik sekolah telah menemui sesuatu yang amat mengejutkan.

Ianya merupakan satu rakaman video dua orang guru paling tegas dan garang di sekolah mereka, sedang melakukan hubungan seks!!!

Guru-guru itu adalah dari sekolah antarabangsa di sini. Guru lelaki itu digelar 'Voldermort' (watak jahat dalam filem Harry Potter) kerana ketegasannya dan sering memakai pakaian serba hitam, manakala guru perempuan itu pula dikatakan guru paling garang di sekolah tersebut.

Walaupun kedua-dua guru itu memang diketahui berpacaran dan akan berkahwin, hingga kontrak mereka tamat dan meninggalkan sekolah tersebut, video tersebut telah pun dimuat naik ke internet dan ada bekas-bekas pelajar yang mengenali mereka. Video berdurasi 20 minit itu juga tersebut tersebar luas di Facebook.

Video yang dirakam menggunakan kamera yang diletakkan pada tripod, menunjukkan seorang lelaki bogel dan seorang wanita yang memakai camisole, seluar dalam dan kasut tumit tinggi. Mereka melakukan hubungan seks tersebut di dalam bilik tidur.








Menurut laporan The New Paper, jurucakap pihak sekolah mengatakan tiada tanda-tanda pecah masuk di dalam makmal komputer IT sekolah, tetapi pihak pengurusan telah dimaklumkan supaya berhati-hati pada masa hadapan. - TNP

Thursday, October 3, 2013

GURU DAN DAKWAH; MELESTARIKAN PERUBAHAN



Kebangkitan atau kemunduran suatu ummah menggambarkan mampu atau tidak ummah merancang pendidikannya. Pendidikan yang baik melahirkan generasi yang berkualiti. Sirah menunjukkan bahawa Rasulullah SAW menumpukan kepada generasi muda. Ini kerana mereka merupakan Jil Taghyir yang mampu membawa perubahan yang besar.Ini juga menunjukkan bahawa dakwah baginda berorientasikan masa hadapan. Malah seluruh ideologi dominan di dunia ini memilih kelompok muda terutama para pelajar sebagai sasaran mereka.

Imam al-Banna pernah menyatakan : “Oleh kerana itu, sejak dahulu hingga sekarang, generasi muda merupakan pilar kebangkitan, pemuda adalah rahsia kekuatannya. Dalam setiap fikrah, pemuda adalah pengibar panjinya.”

Islam melihat generasi muda sebagai ‘penyambung zuriat umat beriman’ . [15:21]

“dan orang-orang yang beriman dan anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka dan kami tidak mengurangi sedikitpun daripada pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang mereka kerjakan.”

Profesion perguruan terlibat secara langsung dengan tugas berorientasikan masa hadapan dalam erti kata melaksanakan tugas dakwah dan perkaderan. Justeru guru merupakan pendakwah yang bertindak sebagai muallim, murobbi, muwajjih, mursyid, daie dan qaid.

Guru dan Dakwah

Allah memuliakan dan mengangkat martabat manusia dengan usaha dakwah yang dilakukannya. Guru adalah pelaksana kerja mulia ini. Kerja memberikan tau’iyah [kesedaran] kepada para pelajar di samping berusaha membentuk rakaiz Islamiah [ binaan Islam ].

Bukankan Allah menyatakan di dalam al-Quran :

“Siapakah yang paling terbaik amalannya daripada mereka yang menyeru ke jalan Allah serta melakukan amal soleh, lantas menyebut , aku dari kalangan orang-orang yang mempasrahkan diri kepadaNya.” [ Fussilat :33]

Nabi SAW menyebut :

“ .. dengan sebab usaha kamu seorang mendapat hidayah, maka itu lebih baik daripada unta merah.” [Riwayat Muslim]

“Orang yang menunjukkan jalan kebaikan maka baginya balasan pahala selagi mana orang itu masih melakukan kebaikan.”

Memilih untuk menjadi guru bererti memilih untuk terlibat secara luas di dalam usaha tajmik dan mengkaderisasi pelajar untuk menjadi penyambung risalah dakwah kita. Bahkan mereka akan menjadi agen perubah kepada perubahan umat. Oleh itu bidang perguruan merupakan bidang paling efektif di dalam medan amal dakwah dan amal tarbiyah di mana kita dapat menumbuh kader baharu bahkan merealisasikan matlamat melahirkan pewaris dakwah pada masa hadapan.

Potret anak-anak kita hari ini.

Anak-anak kita hari ini tumbuh membesar dalam cengkaman budaya hedonistik yang bermahajalela, tenggelam dalam lautan nafsu syahwat yang buas. Benih yang lahir dari sulbi ummah ini adalah benih yang lemah, hilang jati diri, mandul budi pekerti sehingga mereka diseret jauh dari panduan dan bimbingan Ilahi.

Anak-anak hari ini adalah anak-anak yang mengkagumi budaya negeri matahari terbit, terpesona dan terkesima dengan sogokan pemikiran amerikanisasi. Lihatlah gelagat dan perilaku mereka, sekerat muslim sekerat sekular. Seolah-oleh, dunia tanpa sempadan ini, alaf gajet dan millinium adalah tuhan baharu di dalam kehidupan mereka. Hedonistik dan materialistik menjadi berhala sembahan mereka dek kerana ketempangan daya tahan diri lantaran serangan liberalisasi dan sekularisasi.

Yang menjadi kegilaan mereka adalah para artis dan aktor filem. Yang mengisi kekosongan mereka adalah superstar bola sepak dan anak-anak muda liberalis. Mereka terheret ke lembah kehancuran dan kemusnahan yang bakal memusnahkan tamadan umat dan bangsa ini. Mereka generasi yang hidup tanpa agenda. Kehidupan mereka diwarnai dengan Valentine Day, ketagihan dadah, seks bebas dan juga siulan muzik yang entah dari mana asalnya. Begitulah potret anak-anak generasi kita.

Ya, di sinilah kita para guru wajib menginsafi tugas dan peranan besar kita untuk mengeluarkan generasi ini dari lembah kebinasan kepada lembah kemuliaan yang mengangkat harakat mereka. Bukankan Allah menyatakan. “Sesungguhnya kami telah memulia dan menghebatkan anak-anak Adam.” ‘Kemuliaan atau karamatul insan’ yang sehingga mereka mengerti peranan mereka sebagai bangsa dan umat yang memiliki risalah untuk memimpin perubahan besar ini, mereka adalah khalifah Allah yang akan dipersoal di hadapan Allah nanti. Termasuk kita juga selaku para guru yang akan ditanya terhadap tugas dan akauntabiliti sebagai pembawa risalah. “Dan Allah pasti akan bertanya tentang nikmat yang telah diberikan kepada kamu.” Nikmat sebagai seorang guru, penunjuk hidayah pemikul risalah dan dai’e ilallah.

Sementalahan itu, kelalaian kita dengan tugas-tugas besar ini menjadi penyebab datangnya azab Allah SWT yang merata.

Bagaimana memulakan dakwah di sekolah?

Sebelum memulakan usaha dakwah dan tajmik di sekolah, seorang guru perlu memahami waqi [realiti] sekolah dan seterusnya mewujudkan jambatan atau hubungan langsung dengan pihak di sekolah. Antaranya :
Pihak pentadbir terutama Pengetua dan PK HEM
Guru-guru dan ustaz-ustaz
Warden-warden
PIBG
Ibu bapa
Pimpinan pelajar
Jaga

Bagaimana…
Beri salam dan bertaaruf dengan mereka. Bertaaruflah dengan mereka bersungguh-sungguh dan penuh sopan. Al-Banna berkata : “asas dakwah kita adalah taaruf.” “dakwah kita adalah dibina atas kasih sayang dan dengannya kita membuka pintu-pintu hati manusia.”
Ambil masa menziarahi mereka terutama di sempena-sempena tertentu. Lebih baik jika anda menjadi warden kerapkanlah menzirahi mereka waktu sakit, waktu cuti dan sebagainya.
Beri hadiah dan buah tangan. Ajaklah mereka hadir ke rumah anda.
Buat aktiviti yang mengikat hati dan dikenang budi seperti gotong royong, kelas tambahan, hadir memberikan kuliah di surau sekolah, tuisyen percuma, sediakan bank solan di samping qudwah seorang guru da’ie.
Jaga penampilan diri, jaga percakapan dan pergaulan diri, buang tanggapan negatif terhadap kita samada dari pihak pentadbir, guru-guru dan para pelajar.
Sentiasa bergaul dengan pelajar samada di surau dan padang sekolah. Riadah dan main bersama mereka. Ringan tangan membantu dan menyelesaikan masalah mereka.
Jadikan diri kita idola pelajar.

Siapakah guru idolaku ?

Kaedah menyatakan “al-qudwah qobla dakwah”. Menunjukkan teladan yang baik dahulu sebelum mengajak kepada fikrah kita. Dakwah melalui contoh teladan adalah dakwah yang lebih efektif dan mampu mempengaruhi para pelajar. Antara sifat yang perlu ada pada seorang guru :
Sentiasa senyum dan bermanis muka.
Ambil berat tentang pelajar
Hebat dan bersungguh-sungguh di dalam mengajar dan mendidik
Memuji Allah
Panggil pelajar menggunakan nama yang paling disukai oleh pelajar itu
Senang didekati
Solat bersama pelajar
Belanja makan pelajar
Ziarah pelajar ketika sakit dan waktu cuti persekolahan
Sabar dengan kerenah pelajar
Selalu beri motivasi kepada pelajar
Tegas dan adil kepada pelajar
Suka menolong pelajar
Gunakan bahasa yang lembut..
Nasihat yang ringkas dan berkualiti..bukan berleter
Memberi hadiah dan ucap tahniah kepada pelajar serta pujian
Ajak rehlah dan jaulah dengan pelajar

Hasilnya pelajar mudah mendekati kita dan mereka lebih thiqah [percaya] kepada kita.

Buka Lembaran zaman sebagai pelajar…
“Saya tidak suka nasihat yang berjela-jela, jangan berleter.”

Sebagai guru, berilah nasihat yang ringkas dan padat. Mereka akan menanti nasihat tersebut dan tertanya-tanya bila lagi. Berilah nasihat secara personal, jangan aibkan mereka di khalayak ramai. Kalau ingin memberi tazkirah..bawalah kisah-kisah dan cerita-cerita kerana ia lebih disukai pelajar.
“Saya anak kampung, petang-petang berkayuh basikal, pergi ke sawah, masa sekolah menengah ustaz selalu ajak mendaki gunung, pergi ke tempat-tempat rekreasi.”

Guru perlu kreatif rancang aktiviti. Pelajar suka aktiviti-aktiviti lasak dan kegiatan rekreasi. Mereka rasa jemu duduk di dalam kelas. Bawalah mereka ke program jaulah, rehlah, perkhemahan, mendaki gunung, berkelah di tepian pantai dan sebagainya.
“Saya johan pertandingan hafazan al-Quran.”

Guru perlu bimbing dan latih pelajar, pelajar akan lebih menghargai dan mengingati guru yang telah melatihnya menjadi juara atau pemenang. Ia adalah satu wasilah mendekatkan guru dengan pelajar semasa latihan dan pertandingan.”
“Saya menjadi ketua pengawas di sekolah dan pernah mendapat tokoh pelajar sekolah dan daerah.”

Kalangan pelajar ada yang bersifat unta merah, pilih dan beri perhatian kepada mereka ini, buatlah dakwah fardiyah dengan mereka, hampiri dan dekati serta follow up selalu, carilah yang ada sifat berani dan cerdik, mereka ini bakal menjadi tokoh dan pemimpin umat pada masa akan datang.
“Saya jadi Setiausaha Persatuan Pelajar Islam dan JK Kem Kepimpinan Islam.”

Kebanyakan program guru yang merancang, kami hanya mengikut. Program tidak datang dari buah fikiran pelajar. Kita sebagai guru sepatutnya bertindak sebagai coach, pelajar yang merancang dan mengendalikannya. Ini akan menjadikannya cepat faham amal dakwah dan tarbiyah. Berilah taujih agar dia menggerak dan merancang dakwah di sekolah.

Melahir Kader Dakwah Sekolah

Dakwah tidak akan berjaya tanpa diikuti dengan tarbiyah. Tugas guru setelah mengadakan program-program umum ialah menyediakan program yang mampu membentuk diri mereka menjadi kader dakwah sekolah.

Pelajar yang sudah kita dekati ini dan ada kecintaan pada Islam perlu dikumpulkan di dalam satu halaqah dan diberikan taujih tarbawi secara khusus. Mereka akan menjadi batu bata kepada dakwah di tempat mereka di samping pembantu kepada kita di dalam membawa fikrah yang jelas ini. Mereka akan menjadi agen dakwah kerana rakan-rakan mereka kerana mereka lebih kenal dan senang didekati.

“Dakwah pelajar kepada pelajar untuk pelajar.”

Membeningkan [melembutkan] hati

Dakwah kita adalah dakwah hati nurani. Kita sebagai daie wajib menghidupkan hati kita sebelum melunakkan hati orang lain. Rasulullah SAW membuat perumpamaan :

“Perumpamaan orang yang selalu berzikir mengingati Allah dengan orang-orang yang tidak mengingatinya adalah seperti yang hidup dan yang mati.” [ H.R Bukhari].

Wahai guru, sang murobbi, beningkan hati anda dengan zikir, ibadah wajib, ibadah sunnah dan tinggalkanlah dosa-dosa. Ingatlah ketika Allah dekat dengan kita, maka hati kita menjadi bersinar, kilauannya memikat jiwa manusia lain, lisan kita berkesan, kelopak mata kita menyejukkan, akhlah kita menenangkan dan dakwah kita akan mudah didengari dan disahut.

Katakan dengan CINTA.

Maka, katakanlah dengan cinta pada anak-anak murid yang berada di tangan kita. Zahirkan ekspresi cinta yang tulus dari hati yang bersih. Cinta yang tulus itu lahir dari raut muka dalam ekspresi wajah yang manis, simpati dan respon positif terhadap mad’u-mad’u kita.

Wajah yang senyum dan cerah terasa menyejukkan dan menarik untuk didekati oleh para pelajar serta mudah untuk dijadikan teman.Guru ini adalah mujahid fi sabilillah. Terkamir dari raut wajah keseriusannya menanggung beban perjuangan. Getaran keimanannya mampu menggetarkan hati-hati di sekelilingnya.

Ya..ada kata-kata para ulama silam, “faqidus syai la yu’ti”- orang yang tidak memiliki apa-apa tidak akan mampu memberi. Dakwah ini adalah dakwah yang robbani, jadilah guru yang robbani. Tidak ada jalan bagi menjayakan dakwah ini melainkan dengan pengalaman. Pengalaman yang diiringi dorongan imani serta kepelbagaian kemahiran akan menjayakan tugas besar ini.Guru sebenarnya adalah insan yang faham dan tahu ilmu berkaitan kejiwaan para pelajar. [al-khibroh bin nufus].

Akhirnya antara nikmat berdakwah ini ialah perasaan bahagia apabila fikrah yang kita dokong ini dinikmati oleh pelajar yang kita tajmik. Alangkah bahagianya hati seorang guru apabila diketahui pelajar yang bersamanya menyambung ke universiti menjadi aktivis dakwah, kemudian membentuk rumah tangga Islami. Lebih bahagia lagi mereka sekarang menjadi penggerak dakwah di mana-mana tempat mereka berada. Alhamdulillah ia adalah nikmat kurnian allah yang tidak terhingga atas barakah dakwah dan tarbiyah.

Guru Kerja Besar Untuk Perubahan Besar

Tugas dan amanah kependidikan ini berat dan sukar. Sejarah telah merakam bahawa di sebalik kegemilangan ketamadunan sesuatu bangsa dan umat terletak di bahu para guru. Meneliti kejayaan tamadun Islam bermula dari Era Nubuwwah , Era Khulafa’ sehingga ke puncak peradaban di zaman Abbasiyyah, maka mereka yang mewarnai dan mencorak kekuatan umat adalah para ilmuwan dan intelektual Islam yang bergelar sebagai seorang guru.

Kehebatan para pemimpin Islam dahulu juga ditunjangi oleh para guru yang mursyid, yang bertindak sebagai seorang murobbi, muallim, muaddib dalam kerangka melanjut dan melangsung kepimpinan umat Islam. Yang menghebatkan para sahabat r.a adalah Rasulullah SAW selaku rasul dan murobbi agung, yang menghebatkan Khalifah Umar Abdul Aziz dan Khalifah Harun Ar-Rashid ialah guru yang bernama Imam Malik b. Anas, yang menghebatkan Sultan Solahuddin Al-Ayyubi ialah Bahauddin bin Shaddad dan yang menghebatkan Sultan Muhammad Al-Fateh, gurunya bernama Syeikh Agha Shamsuddin. Kata Sultan Muhammad al-Fateh : “Penghormatan saya kepada Syeikh Agha Shamsuddin bukanlah satu pilihan saya. Ketika berada bersamanya, saya rasa terpegun dan kagum.”

Memang guru agen perubahan dan transformasi umat. Jika kita ingin perubahan besar di negara ini, maka ubahlah generasi pelajar kita. Kita sedang melakukan kerja besar para anbiya’, kerja yang menjadikan Allah dan malaikat berselawat ke atas kita, seluruh makhluk termasuk ikan-ikan di lautan memohon istighfar ke atas kita, kerja yang menjadikan para malaikat merendahkan sayapnya untuk mengagungkan kita. Ya, kerja kita yang besar ini memerlukan jiwa dan tekad yang besar. Jiwa dan tekad yang besar perlu bermula dari diri kita, kalau tidak kita siap lagi, kalau bukan hari ini bila lagi. Bukankan Allah berfirman :

“Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu umat melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka.”

Hasan Hudhaibi pernah berkata :

“ Tegakkanlah Islam dalam diri anda nescaya tertegak Islam dalam watan anda.

KAHWIN MUT'AH BANYAK BERLAKU DI KALANGAN ORANG MELAYU



Amalan nikah mut’ah sudah banyak berlaku di kalangan masyarakat Melayu, kata Ketua Unit Kajian Syiah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ustaz Mohamad Ismail.

Katanya sudah banyak kes nikah mut’ah yang beliau temui termasuk satu kes yang berlaku di Bangi.

“Satu hari saya berjumpa dengan seorang pemuda di Bangi. Katanya kakak beliau telah bernikah dengan orang Iran. Tetapi apabila mendapat anak, orang Iran itu tidak mahu meletakkan namanya sebagai nama bapa kepada anak itu. Orang Iran itu pula selalu meninggalkan kakaknya dan hanya akan pulang bertemu kakaknya dalam tempoh yang panjang.

“Ini adalah satu contoh kes yang saya temui. Banyak lagi kes nikah mut’ah yang berlaku di universiti-universiti seperti di Universiti Malaya,” kata Ustaz Mohamad.

Beliau berkata demikian di Wacana Pemantapan Akidah, Mendepani Ancaman Liberalisme dan Syiah di Dewan Muktamar Pusat Islam anjuran bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini malam tadi.

Tambah beliau, nikah mut’ah adalah salah satu amalan utama dalam ajaran sesat Syiah dan ia amat berbahaya.

“Nikah mut’ah ini amat bahaya kerana ia merosakkan zuriat anak Adam, dan kerja merosakkan zuriat anak Adam ini bukan kerja manusia, ia kerja iblis dan syaitan,” katanya lagi.

Ustaz Mohamad meminta semua pihak termasuk ahli politik kerajaan dan pembangkang bersatu padu membanteras ajaran sesat Syiah daripada terus berleluasa dan menggesa program kesedaran masyarakat tentang bahaya Syiah ditingkatkan.

PENYATA GAJI ONLINE DIGODAM ADALAH PALSU

Khabar angin di Facebook yang menyatakan berlaku hacker ke atas laman web Jabatan Akauntan Negara malaysia (JANM) berkaitan penyata slip gaji yang menyebabkan kehilangan wang gaji kakitangan awam di negara ini adalah Palsu. Berikut adalah maklum balas JANM.


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Tuan/Puan,
Sistem ePenyata Gaji dan Laporan kini telah ditambahbaik dengan ciri-ciri keselamatan bagi melindungi maklumat penyata gaji bulanan dan tahunan penjawat awam Kerajaan Persekutuan.
Ciri-ciri keselamatan yang dimaksudkan adalah
1. Notifikasi melalui sms dan e-mail kepada pengguna sistem yang Daftar Semula
Bagi tujuan ini, pengguna diminta mengemaskini maklumat no. telefon bimbit dan alamat e-mail agar notifikasi berkaitan tindakan pendaftaran semula dapat dihantar kepada pengguna.
2. Mengunci masuk maklumat yang diperlukan oleh sistem bagi tujuan Daftar Semula.
Sebelum penambahbaikan sistem dibuat, hanya no. K/P dan nombor gaji sahaja yang perlu dikunci masuk bagi tujuan endaftaran semula dibuat. Memandangkan maklumat no. K/P dan nombor gaji mudah diperolehi , Sistem ePenyata Gaji dan Laporan di ditambahbaik dengan membuat semakan nombor akaun bank pembayaran gaji pengguna. Oleh itu, pengguna yang Daftar Semula perlu mengunci masuk no akaun bank pembayaran gaji bagi membolehkan sistem membuat semakan.

Merujuk kepada aduan tuan/puan,ianya adalah khabar angin yang disebarkan oleh individu yang tidak mendapat pengesahan dan maklumat lanjut daripada JANM. Tidak dinafikan terdapat juga khabar angin yang menyatakan bahawa sistem ePenyata Gaji dan Laporan telah diserang virus dan di"hacked". Pihak kami menegaskan bahawa sistem ePenyata Gaji tidak di"hacked" tetapi ianya ditambah dengan ciri keselamatan semakan nombor akaun bank pengguna agar maklumat penyata gaji bulanan dan tahunan pengguna dilindungi. Untuk makluman juga, sistem ePenyata Gaji dan Laporan yang diwujudkan oleh JANM tidak mempunyai link dengan mana-mana online banking yang boleh mengakibatkan penjawat awam kehilangan gaji mereka.

Sekian, terima kasih.

"Inovasi Penggerak Transformasi Perakaunan Akruan"

UNIT EPAYSLIP
Jabatan Akauntan Negara Malaysia,
Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat,
Aras 5, Kompleks Kementerian Kewangan,
No. 1, Persiaran Perdana, Presint 2,
62594 Putrajaya.
Tel : +603-8882 1414/1300/1374/1355
Fax : +603-8882 1401
Emel: epayslip@anm.gov.my